GAMBAR Hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR Hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak tidak menyekat penuntut Sarawak yang mengikuti pengajian di Semenanjung atau Sabah untuk balik ke kampung masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di kediaman masing-masing, sebaik tiba di negeri ini.

Beliau berkata, jika mereka menaiki penerbangan dari Semenanjung atau Sabah dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum ke kediaman di daerah lain, mereka perlu menjalani kuarantin di destinasi terakhir.

“Selepas mendarat di Kuching kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Sibu menaiki pengangkutan darat misalnya, mereka perlu menjalani kuarantin di Sibu, bukan di Kuching.

“Kita tidak menghalang pelajar untuk balik dalam tempoh penutupan kampus, tetapi jika mereka mahu kekal tinggal di kampus, mereka boleh berbuat demikian kerana perkara itu sudah saya bincangkan dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) petang tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya, lewat malam tadi.

Mengenai prosedur pengebumian mangsa pertama yang maut akibat koronavirus baharu (Covid-19) di Sarawak, Abang Johari berkata, Jabatan Kesihatan Negeri akan menguruskannya.

Mangsa pertama itu, seorang pastor sebuah gereja di Kuching yang disahkan positif Covid-19 meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 11 pagi hari ini.

Mengenai mesyuarat itu, Abang Johari berkata, beberapa tindakan lebih tegas diambil kerajaan negeri bagi membendung peningkatan jangkitan yang meningkat mendadak.

Beliau berkata, ia selaras dengan langkah untuk mengehadkan pergerakan orang awam yang diumumkan Muhyiddin malam semalam mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac 2020.

“Langkah yang kita ambil di Sarawak ialah semua pejabat kerajaan ditutup dalam tempoh itu dengan hanya Jabatan dan Agensi Kerajaan yang menyediakan essential services sahaja dibenarkan beroperasi.

“Premis perniagaan, termasuk kilang ditutup selama dua minggu kecuali premis perniagaan yang menjalankan essential services.

“Hanya kilang-kilang di Samalaju, Hi-Tech Samajaya dan kilang-kilang papan lapis dibenarkan beroperasi dengan kakitangan yang minima sahaja,” katanya.

Selain itu, storan dan kedai makan masih boleh dibuka tetapi orang ramai tidak dibenar untuk makan atau minum di dalam premis terbabit.

“Orang ramai juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang-barang keperluan harian dan mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang penting sahaja.

“Mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 12:32 AM