SUASANA Kompleks ICQS Rantau Panjang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SUASANA Kompleks ICQS Rantau Panjang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


TIDAK kelihatan sebuah pun bot penambang malah, tiada juga penduduk yang menyeberangi Sungai Golok dari sempadan Kelantan di Tumpat ke pekan Tak Bai.

Pekan di selatan Thailand itu kerap menjadi tumpuan penduduk tempatan dan rakyat negara berkenaan untuk membeli-belah, dengan masing-masing menggunakan perkhidmatan bot penambang.

Bagaimanapun, tinjauan hari ini mendapati kawasan berkenaan lengang, susulan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan Malaysia.

Malah pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang turut sepi selepas penutupan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, sejak tengah malam tadi tiada aktiviti lintas sempadan yang dikesan di Sungai Golok.

“Jika sebelum ini terutamanya ketika cuti sekolah, aktiviti lintas sempadan oleh penduduk kampung sama ada menerusi laluan sah atau pangkalan haram aktif.

“Berlainan apabila perintah kawalan ini susulan Covid-19 berkuat kuasa yang setakat ini dipatuhi penduduk.

“Rakyat Thailand yang berada di Kelantan juga sudah kembali ke negara mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Rudzuan berkata, pihaknya tetap melakukan rondaan dan kawalan seperti biasa di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kegiatan tidak diingini.

Katanya, untuk rondaan Perintah Kawalan Pergerakan pula, PPM memfokus kepada kawasan sepanjang 20 kilometer dari Pengkalan Kubor hingga Kubang Pak Hitam di Pasir Mas.

“Tiga bot digunakan untuk penugasan 24 jam ini. Selain PPM, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut sama dalam kawalan sempadan,” katanya.

Mohd Rudzuan juga memberitahu berhubung rapat dengan Polis Marin Thailand bagi berkongsi maklumat dan perkembangan negara masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 1:03 PM
    Digital NSTP Subscribe