GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Adnan Ibrahim


ORANG ramai yang pernah datang ke Pejabat Parlimen Simpang Renggam selepas 11 Mac lalu diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan berikutan seorang petugas di pejabat itu positif Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, sesiapa yang mempunyai kontak langsung dengan pesakit itu selepas 11 Mac samada di rumah atau di hospital diharapkan segera menjalani pemeriksaan selain melakukan pengasingan diri selama dua minggu di rumah masing-masing.

Katanya, berikutan keadaan itu, seluruh bangunan pejabat parlimen itu termasuk Pejabat Bersatu Bahagian Simpang Renggam akan dinyah kuman.

“Sejak 11 Mac lalu, beliau sudah tidak datang ke dua-dua pejabat di sini namun kami juga sudah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memaklumkan hal ini dan melaporkan senarai tempat awam yang pernah dikunjungi sepanjang tempoh itu hingga semalam.

“Kami akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai keadaan beliau dan sebarang info mengenai tempat yang pernah beliau kunjungi,” katanya melalui kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Maszlee turut mengharapkan rakyat Simpang Renggam tidak panik dan sentiasa berhati-hati, mengamalkan penjarakkan sosial, duduk rumah dan segera jalani pemeriksaan kesihatan jika perlu.

“Saya juga menyeru semua rakyat di Simpang Renggam dapat mendoakan kesihatan beliau kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 1:53 PM