ANGGOTA penguatkuasa MPK mengarahkan 45 peniaga pasar pagi Kampung Jawa menutup perniagaan mereka. FOTO IHSAN MPK
ANGGOTA penguatkuasa MPK mengarahkan 45 peniaga pasar pagi Kampung Jawa menutup perniagaan mereka. FOTO IHSAN MPK
Mohd Rafi Mamat

PENGUAT kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini bertindak tegas dengan mengarahkan 45 peniaga pasar pagi Kampung Jawa di Kuantan menamatkan serta-merta operasi jualan mereka.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal, berkata, semua peniaga tetap setiap hari itu diarahkan menutup gerai menjual ayam, daging, sayur dan buah-buahan mereka.

Menurutnya, pasar pagi di Kampung Jawa itu terkenal di daerah ini dan beroperasi setiap hari bermula 6 hingga 11 pagi, selain makanan pelbagai jenis barangan turut dijual di situ termasuk pakaian.

Katanya, amaran keras dikeluarkan kepada 45 peniaga terbabit yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang keluarkan kerajaan bermula malam tadi hingga 31 Mac ini berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“MPK menetapkan 15 lokasi atau premis tidak boleh beroperasi bermula hari ini hingga 31 Mac bagi mengelak berlakunya penularan virus COVID-19, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Saya mengingatkan kepada semua pihak terutama peniaga supaya memberi kerjasama dan memahami situasi sekarang, jangan mengambil mudah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 3:47 PM