AHMAD Faizal. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
AHMAD Faizal. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Perak mengumumkan bantuan khas one-off sebanyak RM500 kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan khas tambahan dengan kos keseluruhan hampir RM2 juta itu akan disalurkan melalui PBT dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak.

“Tanggungan itu untuk tempoh selama dua bulan iaitu Mac dan Mei dengan kos lebih RM770,000,” katanya dalam satu kenyataannya di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bantuan makan tengah hari dan malam turut diberikan kepada 1,500 kakitangan barisan depan iaitu doktor, jururawat, petugas Jabatan Kesihatan yang terbabit dalam menangani wabak Covid-19.

“Sumbangan adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan depan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan dalam menangani wabak Covid-19.

“Bantuan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM420,00 untuk dua minggu,”

katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri turut memberi peruntukan khas sebanyak RM160,000 bagi membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:49 PM