Raja Noraina Raja Rahim


BERSIAR-SIAR sambil menikmati pemandangan, membeli makanan segera dan tidak tahu mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu antara alasan diberikan pengguna jalan raya ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya yang dilakukan susulan arahan PKP akibat penularan koronavirus baharu (Covid-19), malam tadi.

Biarpun penguatkuasaan PKP selama 14 hari sudah bermula, namun segelintir masyarakat masih berdegil dan keluar rumah tanpa urusan penting.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, operasi dilakukan bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

POLIS membuat sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Asyraf Hamzah
POLIS membuat sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Asyraf Hamzah

“Sekatan dilakukan bertujuan mengawal pergerakan dari satu tempat ke tempat lain di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Kebanyakan yang diperiksa sedar akan peraturan itu, namun mereka seolah-olah tidak ambil berat, lalai dan mengambil peluang untuk keluar bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pada sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mohd Fahmi berkata, pihaknya berusaha memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan dan akan meneruskan sekatan dari semasa ke semasa sehingga 31 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya melakukan tiga hingga empat sekatan di sekitar daerah Petaling Jaya bagi mengawal pergerakan orang ramai dan mencegah penularan Covid-19.

Beliau berkata, bagi peringkat permulaan ini, polis lebih kepada memberi nasihat dan pendidikan kepada masyarakat.

“Pelbagai alasan diberikan untuk menyokong pergerakan mereka. Jadi kita menasihati mereka supaya tidak melanggar perintah dikeluarkan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 12:40 AM