GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan


KESEMUA 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor diminta segera menyampaikan notis pemberitahuan berhubung Arahan Penutupan melalui semua saluran dan kaedah penyampaian susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, tiada kompromi dalam soal berkaitan menyelamatkan nyawa rakyat susulan wabak Covid-19.

Namun, Pihak PBT hendaklah memberikan nasihat terlebih dahulu terhadap mana-mana premis perniagaan dan peniaga yang tidak mematuhi Arahan Penutupan itu.

“Tindakan penguatkuasaan perlu segera diambil selepas notis dan nasihat dikeluarkan dan disampaikan ke atas mereka enggan mematuhinya.

“Kita tidak berkompromi dalam soal yang berkaitan menyelamatkan nyawa rakyat.

“Saya yakin semua pihak memahami semua tindakan ini adalah usaha kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ayub, pihak kerajaan juga memahami kesulitan dan kesukaran yang dihadapi oleh semua premis perniagaan dan peniaga yang terbabit.

Katanya di peringkat awal ini, semua PBT dikehendaki memberikan maklumat yang berkaitan dengan peniaga kecil dan penjaja yang berlesen seperti pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

“Ia untuk diteliti dan dikaji bagi membolehkan kerajaan menimbangkan bentuk bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas semasa penutupan di bawah perintah larangan pergerakan ini.

“Kerajaan negeri akan meneliti dari masa semasa ke semasa kesesuaiannya untuk membantu peniaga kecil yang terjejas

“Kerjasama semua pihak amat amat diharapkan bagi membantu kerajaan membendung segera peningkatan penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 12:46 PM
    Digital NSTP Subscribe