Zuliaty Zulkiffli


KES simbah petrol dan bakar bilal Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat di Alor Setar bulan lalu akan disiasat sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi berkata, sebelum ini kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Menurutnya, pihaknya akan meminta pihak Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 19 Februari lalu, Amri Budin, 66, dikatakan tiba di pekarangan Masjid Al Hasanah pada 5.50 pagi untuk menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, seorang lelaki yang menunggang motosikal di kawasan itu seorang diri dikatakan menyimbah petrol dan membakar mangsa.

Jemaah masjid yang kebetulan ternampak kejadian itu membantu memadam api dengan kain sebelum menghubungi polis dan anak mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Berikutan itu polis menahan suspek terbabit kira-kira enam jam selepas kejadian berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa yang melecur 25 peratus dirawat di HSB.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia tiga hari lalu selepas 22 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana organ dalamannya rosak.

Berita berkaitan

Bilal disimbah petrol, dibakar meninggal dunia

Bilal akan jalani pembedahan

Suspek bakar bilal diarah periksa mental [METROTV]

Bilal stabil, suspek direman tujuh hari

Bilal jadi mangsa keadaan

Buru dua suspek bakar bilal [METROTV]

'Apa motif bakar bilal'

Simbah minyak, bakar bilal



Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 2:22 PM