GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


UMAT Islam di negara ini disaran mengadakan bacaan yasin, solat hajat dan doa pada malam ini khusus untuk meminta agar dijauhkan daripada sebarang bencana khususnya penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff berkata, orang ramai boleh membaca apa saja surah kerana apa yang penting ialah bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT agar segalanya dipermudahkan.

“Anda bebas memilih untuk baca apa juga surah, yang penting bersama-sama kita munajat pada Allah SWT dengan penuh ketundukan agar keresahan didamaikan, kekalutan ditenangkan, kesukaran dimudahkan dan keperitan diringankan.

“Doakan juga petugas barisan hadapan yang sedang berjihad di medan mereka,” katanya.

Pada status terbabit juga dikongsikan infografik berhubung program yang antara lain turut mengajak orang ramai membaca surah Al - Kahfi dan bermunajat agar dunia diselamatkan daripada wabak Covid-19.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai di Wilayah Persekutuan untuk turut sama bermunajat di rumah masing-masing malam ini.

“Kita pohon agar Allah SWT jauhkan kita semua daripada segala bentuk bahaya selain meminta agar wabak Covid-19 ini segera berlalu,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Manfaat Surah al-Kahfi
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:14 PM
    Digital NSTP Subscribe