KAMARUDIN. FOTO Arkib NSTP
KAMARUDIN. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan 1,075 rakyat Malaysia masih terkandas di India.

Timbalan Menteri Luar merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Datuk Kamarudin Jaffar berkata, angka itu diperoleh setakat jam 3 petang tadi dan usaha sedang dilakukan untuk memastikan semua yang terkandas dapat pulang ke Malaysia dengan segera.

“Berdasarkan rekod, mereka yang terkandas di Chennai berjumlah 450 orang, Trichy (450), New Delhi (97), Bangalore (63), Mumbai (24) dan Cochin (11).

“Kita sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan serta syarikat penerbangan bagi menyelaraskan urusan pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India termasuk perancangan untuk menghantar pesawat sewaan khas ke Chennai dan Trichy bagi membawa rakyat Malaysia yang sedia ada memegang tiket penerbangan pulang AirAsia ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil usahasama antara kerajaan Malaysia dan India berjaya membantu memudahcara urusan pulang rakyat Malaysia dan India ke negara masing-masing.

“Kerjasama ini membolehkan 138 rakyat Malaysia dan 405 rakyat India pulang ke negara masing-masing semalam (kelmarin),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:06 PM
    Digital NSTP Subscribe