AFFENDI menyeru semua pihak diminta menghentikan penyebaran mesej palsu yang tular di WhatsApp mengenai atur gerak aset ATM bagi menangani masalah Covid-19. FOTO NSTP
AFFENDI menyeru semua pihak diminta menghentikan penyebaran mesej palsu yang tular di WhatsApp mengenai atur gerak aset ATM bagi menangani masalah Covid-19. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan mesej yang tular di rangkaian komunikasi WhatsApp mengenai atur gerak aset milik mereka bagi menangani masalah Covid-19.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, mesej yang ditularkan adalah berita palsu dan semua pihak diminta menghentikan penyebaran mesej berkenaan.

Menurutnya, mesej terbabit berbunyi ‘helikopter tentera khas akan menyembur racun perosak terhadap virus Corona di langit seluruh negara’.

“Walaupun berita palsu ini tidak menyatakan dengan jelas helikopter milik perkhidmatan sama ada Tentera Darat, Laut atau Udara, namun penggunaan perkataan ‘tentera’ atau ‘military’ dan hebahan maklumat yang tidak benar boleh mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

“Tambahan ketika ini, negara sedang dilanda isu wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi berkata, individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan.

“Dapatkan maklumat Covid-19 yang sahih daripada talian Hotline Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sebarang perkembangan terkini turut dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran Telegram Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:17 PM