GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


POLIS Sabah mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani penyebaran berita palsu berhubung wabak Covid-19 di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polisnya, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh memudaratkan.

“Kita ada Pasukan Petugas Khas untuk memantau penyebaran fake news (berita palsu) supaya jangan menimbulkan kekecohan atau menimbulkan kerisauan kepada orang awam.

“Seperti apa yang tular semalam di media sosial mengatakan pasukan tentera telah berada di Penampang, itu tidak betul. Setakat ini PDRM diberi tanggungjawab sepenuhnya oleh kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri operasi sekatan jalan raya di laluan Putatan-Kota Kinabalu dekat Penampang, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mazli berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai berita palsu Covid-19 di Sabah.

Keadaan ketika sekatan jalan raya yang dilakukan di Jalan Putatan, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Juwan Riduan
Keadaan ketika sekatan jalan raya yang dilakukan di Jalan Putatan, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Juwan Riduan

Sementara itu dalam sekatan dilakukan mendapati masih ramai pemandu kenderaan berlegar di laluan Putatan menuju ke Kota Kinabalu meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau menyifatkan pematuhan masyarakat terhadap perintah itu masih rendah dan kurang kesedaran terhadap bahaya wabak.

“Mereka beri alasan ada urusan di pusat bandar, ada yang kerja syif malam dan mahu ke hospital.

“Operasi begini perlu terus diadakan untuk beri kesedaran kepada mereka dan nasihat supaya kurangkan pergerakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 9:55 AM