DOUGLAS Uggah. FOTO Mohd Roji Kawi
DOUGLAS Uggah. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

PESAKIT Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah akan pakaikan peranti khas bagi memudahkan pihak berkuasa kesihatan memantau pergerakan mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengesanan digital yang dipakaikan di lengan itu juga bagi memastikan mereka mematuhi syarat kuarantin yang ditetapkan sekali gus mengelak penularan wabak berbahaya itu.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan menyediakan aplikasi bagi melaksanakan pendekatan baharu itu.

“Selain menyediakan peranti itu, SMA juga akan membuat pemetaan kawasan panas wabak Covid-19 di negeri ini bagi memudahkan tindakan pembasmian dilakukan,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Uggah berkata, kerajaan Sarawak dengan kerjasama SMA melaksanakan langkah baharu itu berikutan trend positif wabak itu yang meningkat.

“Hari ini sahaja, tujuh kes positif baharu dikesan dan semuanya dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan semua kes membabitkan pesakit di Kuching.

“Empat daripada kes baharu itu adalah dari kluster ijtimak tabligh, dua dari kluster gereja manakala satu lagi sedang dikenal pasti sumber jangkitan,” katanya.

Dengan tujuh kes baharu itu, Sarawak kini mencatatkan 58 kes positif Covid-19 sejak kes pertama direkodkan pada 13 Mac lalu.

Beliau berkata, 42 daripada kes positif itu membabitkan jemaah yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, operasi restoran makanan segera termasuk pandu lalu akan dihentikan pada jam 8 malam.

“Semua rangkaian pasar raya juga diarah tutup pada jam 8 malam, bagaimanapun semua kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak beroperasi seperti biasa. Arahan ini berkuat kuasa hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:13 PM