TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Yusmizal Dolah Aling

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad membantah pemecatan Datuk Marzuki Yahya sebagai Setiausaha Agung parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu menulis sepucuk surat kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang antara lain memaklumkan Fasal 13.9 dan 16.3.3 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) memperuntukkan kuasa kepada presiden parti untuk melantik Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Ketua Penerangan adalah tertakluk kepada syarat ‘Selepas Berunding Dengan Pengerusi Parti’.

Katanya, ia bermaksud bukan hanya setakat presiden memaklumkan kepada pengerusi, tetapi ia mesti mencapai perbincangan bersungguh-sungguh antara kedua-duanya berkenaan urusan melantik pegawai terbabit.

“Sungguh pun Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) tidak menyatakan dengan jelas akan kaedah bagi Presiden untuk memberhentikan pegawai, Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 dan Fasal 29 Perlembagaan Bersatu memberikan kuasa sepenuhnya kepada parti untuk mentafsirkan perlembagaan sendiri.

“Tafsiran yang munasabah dan memenuhi semangat dan niat Fasal 13.9 dan Fasal 16.3.3 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) adalah kaedah yang sama dalam melantik pegawai terbabit adalah terpakai dalam urusan pemberhentian pegawai, yakni presiden adalah pada setiap masa material mesti berunding dengan pengerusi parti sebelum apa-apa tindakan dibuat.

“Di dalam pemberhentian Datuk Marzuki Yahya daripada jawatan Setiausaha Agung parti, tiada sebarang rundingan dilakukan antara Tan Sri dengan saya selaku pengerusi parti. Ia adalah secara jelas bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) tersebut,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pemberhentian Marzuki adalah tidak sah dan wajar diketepikan dan tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu.

Terdahulu, Marzuki menyerahkan kepada Dr Mahathir mengenai pemecatannya sebagai Setiausaha Agung menerusi surat bertarikh 18 Mac lalu.

Katanya, dia mengesahkan menerima surat terbabit, namun menyerahkan kepada pengerusi parti berhubung kedudukannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:02 PM