GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN


POLIS percaya penutupan premis perniagaan di lima daerah dari 7 malam hingga 7 pagi bermula esok selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan membantu dalam memastikan orang ramai berada di rumah.

Antara premis perniagaan itu ialah kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak di daerah Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh serta Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, beliau meminta kerjasama orang ramai terutama di lima daerah itu untuk mematuhi perintah terbabit bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Katanya, berdasarkan laporan PKP yang dilaksanakan sejak dua hari lalu mendapati tahap kesedaran orang ramai meningkat berbanding pada hari pertama.

“Ia dapat dilihat dengan jumlah kenderaan yang berkurangan di jalan raya.

“Bagaimanapun, keberkesanan penutupan premis perniagaan dari 7 malam hingga 7 pagi akan diketahui sebaik pelaksanaannnya akan dilakukan esok.

“Tetapi pihak polis yakin penguat kuasaan PKP berkesan dengan kerjasama yang akan diberikan orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Kerajaan negeri Pahang mengetatkan PKP dengan mengarahkan premis perniagaan menutup operasi bermula 7 malam hingga 7 pagi di lima daerah positif Covid-19 bermula esok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 9:42 PM
    Digital NSTP Subscribe