DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak merangka pakej rangsangan ekonomi yang mengandungi lapan inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Ia termasuk pakej bantuan kepada rakyat khususnya peniaga kecil yang terjejas sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) mulai 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lapan inisiatif itu akan beliau umumkan selepas mesyuarat Isnin ini.

“Seperti Kerajaan Persekutuan, Sarawak juga akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan sekarang kami sedang menelitinya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai masalah bekalan topeng mulut dan hidung yang kini kritikal, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sudah mendapatkannya dari China.

Beliau berkata, ketika ini berlaku kelewatan pengedaran barangan itu di Sarawak kerana tempahan sebelum ini masih disimpan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kini pihaknya berusaha mengimport terus barangan itu dari China dengan penghantaran terus dibuat ke Sarawak.

Selain itu katanya, kerajaan Sarawak bekerjasama dengan hospital swasta untuk melakukan pemeriksaan dan ujian terhadap jangkitan Covid-19.

“Perbincangan sudah dijalankan dengan Pusat Perubatan Borneo (BMC), Pusat Perubatan Timberland, Pusat Perubatan KPJ dan Pusat Pakar Perubatan Normah untuk meningkatkan keupayaan kita untuk menangani keadaan ini,” katanya.

Beliau turut mengulangi rayuan kepada orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya MCO dengan tinggal di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

“Kerajaan sudah menyenaraikan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menguatkuasakan MCO di pos sempadan dan kawasan luar bandar.

“Ini menunjukkan wabak sudah mencapai tahap serius dan rakyat tidak harus menganggap MCO perkara remeh,” katanya.

Bagi mengurangkan pergerakan keluar masuk di sempadan, beliau berkata hanya Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) antara Sarawak dan Brunei iaitu Sungai Tujuh, Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap akan dibuka mulai jam 6 pagi hingga 8 malam.

“Semua CIQ antara Sarawak dan Kalimantan pula iaitu di Tebedu, Biawak dan Lubok Antu akan dibuka antara jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Ini adalah selaras dengan waktu pembukaan CIQ yang dipersetujui oleh Brunei dan Indonesia,” katanya sambil memaklumkan tujuh kawasan panas COVID-19 di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 1:14 PM
    Digital NSTP Subscribe