Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 10 juta penutup mulut dan hidung akan diimport dari China untuk keperluan barisan hadapan yang menguruskan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beberapa perbincangan bersama China sudah dilakukan dan kini di peringkat akhir proses mengimport penutup mulut dan hidung ke Malaysia.

“Ia diuruskan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama syarikat penerbangan untuk membawa masuk barangan itu secara beransur-ansur.

“Apabila sampai, pengagihannya akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada barisan hadapan yang menguruskan Covid-19 iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hanya ada lebih baharu diberikan kepada pasaran yang akan turut diuruskan Nadma dengan kerjasama Pharmaniaga untuk agihkan,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di siaran televisyen, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, mesyuarat sama turut membincangkan mengenai saranan supaya individu membuat saringan di hospital awam atau swasta memaklumkan segera kepada pegawai perubatan bagi mengelak risiko kepada petugas kesihatan.

Beliau berkata, orang ramai perlu jujur memaklumkan kepada petugas kesihatan mengenai sejarah perjalanan atau kontak rapat dengan individu positif Covid-19 berikutan ramai petugas perubatan sudah dijangkiti virus berkenaan.

“Jika kita tidak maklumkan, sebenarnya polis boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang untuk ditangkap kerana tidak mengisytiharkan diri kita yang terdedah dengan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya ketua keluarga dibenarkan keluar membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 1:53 PM
    DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Bernama
    DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Bernama
    Digital NSTP Subscribe