FOTO hiasan
FOTO hiasan


MELAKA ketatkan lagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 malam berkuat kuasa hari ini.

Ia termasuk mengarahkan semua premis perniagaan seperti kedai beroperasi 24 jam untuk menutup perniagaan lebih awal bagi membantu mencegah penularan wabak Covid-19.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh berkata, arahan itu akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga tamat tempoh pelaksanaan PKP.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri memutuskan sepanjang tempoh kawalan itu, semua premis kedai makan termasuk yang menyediakan khidmat pandu lalu supaya menamatkan perniagaan masing-masing bermula 7 malam sehingga 7 pagi.

“Arahan ini turut berkuat kuasa kepada kedai runcit serta kedai serbaneka yang menjalankan perniagaan 24 jam untuk menutup premis mereka pada tempoh berkenaan.

“Bagi kedai serbaneka di stesen minyak, ia perlu ditutup pada 8 malam sebelum dibenarkan dibuka semula pada 6 pagi.

“Bagaimanapun, hanya perkhidmatan isian minyak dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen premis sedia ada,” katanya.

Selain itu, Salhah berkata, pasar awam juga diarahkan tutup pada 2 petang sebelum dibenarkan dibuka semula 6 pagi.

“Bagi peniaga di pasar awam, mereka perlu mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi bilangan pengunjung dan jarak operasi.

“Semua pasar raya di Melaka juga harus ditutup bermula 7 malam, manakala gerai penjaja termasuk pengendali makanan bergerak (food truck) yang diberi lesen perniagaan perlu menutup perniagaan seawal 6 petang sehingga 7 pagi dengan mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan oleh pihak kementerian,” katanya.

Beliau berkata, semua arahan itu akan dipantau pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing dan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan peniaga terbabit mematuhi arahan itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:12 PM