AMIRUDIN. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


SELANGOR membenarkan pembekalan dan perkhidmatan penyediaan makanan seperti restoran, gerai makanan serta kedai serbaneka beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran itu diberikan hanya untuk pembekalan bahan mentah, pembungkusan, penghantaran serta pandu lalu sahaja.

“Kita membenarkan restoran termasuk dalam hotel untuk beroperasi bermula pada 6 pagi hingga 12 tengah malam manakala untuk penjaja kecil atau trak makanan, mereka tidak dibenarkan beroperasi sehingga tempoh perintah tamat.

“Selain itu, untuk perkhidmatan bahan api dan pelincir yang membabitkan stesen minyak serta pengeluaran, penapisan, penyimpanan, pembekal, pengedaran turut dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan peruncitan seperti pasar raya dibenarkan beroperasi untuk bahagian peruncitan dan makanan sahaja sehingga 12 tengah malam.

Menurutnya, kedai serbaneka turut dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam dan pasar awam (pasar borong) dibenarkan dari 5 pagi hingga 4 petang, manakala pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan.

“Bagi sektor peruncitan, penghantaran dibenarkan selain kita mahu pembeli menghadkan ahli keluarga yang ikut serta ketika membeli barangan keperluan.

“Sepanjang tempoh perintah juga, kerajaan negeri membenarkan perkhidmatan pembaikan (kedai alat ganti) bermula 9 pagi hingga 4 petang, manakala servis menarik kenderaan (towing) dibenarkan.

“Perkhidmatan cucian seperti dobi layan diri, dobi serta pusat cucian kereta tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sangat memandang serius akan kegagalan segelintir masyarakat yang masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain dari keperluan kritikal yang sudah digariskan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu memungkinkan dampak penularan wabak Covid-19 berpotensi untuk berpanjangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:16 PM
    Digital NSTP Subscribe