GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Redzuan Muharam


SEBUAH khidmat nasihat perubatan atas talian, Doc2Us menyeru pakar kesihatan untuk menyertai pasukan sukarela Covid-19 untuk membantu orang awam mendapatkan maklumat tepat mengenai wabak berkenaan terutama berkaitan jangkitan dan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Raymond Choy berkata, usaha itu bertujuan mengurangkan beban sistem kesihatan awam dan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperlahankan jangkitan Covid-19.

Katanya, pasukan sukarelawan dianggotai doktor dan pakar kesihatan itu terbuka untuk menerima sebarang pertanyaan mengenai Covid-19 daripada orang awam secara percuma.

“Kita dapati banyak maklumat palsu mengenai Covid-19 yang tidak disahkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) atau KKM.

“Meskipun begitu, orang awam masih mempercayai dan saling berkongsi maklumat palsu yang diterima.

“Amalan ini amat membimbangkan kerana boleh memudaratkan kesihatan awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sukarelawan Doc2Us hanya akan memberikan nasihat umum mengenai bagaimana wabak Covid-19 merebak, gejala akibat jangkitan, aspek kebersihan diri, keperluan kuarantin, jarak sosial dan lain-lain lagi yang berkaitan.

Di samping itu, katanya, sukarelawan berperanan menasihati individu yang mempunyai gejala Covid-19 untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan lanjut di hospital kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:44 PM
    Digital NSTP Subscribe