DATUK Sulaiman Md Ali. FOTO NSTP
DATUK Sulaiman Md Ali. FOTO NSTP

ENAM lagi insentif khas diumumkan Melaka kepada penerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membabitkan nilai RM3.5 juta.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata, insentif berkenaan susulan pengumuman lapan insentif khas berjumlah RM6.53 juta dalam usaha membantu golongan sasar di negeri itu berikutan penularan wabak Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi MAIM berkata, pada Mesyuarat Khas Bantuan Agihan Covid-19 malam tadi memutuskan untuk menyalurkan bantuan makanan bulanan tambahan sebanyak RM100 kepada 8,640 penerima asnaf fakir, miskin dan muallaf yang membabitkan jumlah peruntukan RM864,000.

Selain itu, katanya, bantuan makanan kecemasan bagi mereka yang putus bekalan makanan juga akan diagihkan, khusus untuk golongan berpendapatan rendah B40 dengan nilai minimum RM50 untuk golongan asnaf dan maksimum RM100 bagi bukan asnaf.

“Semua 289 Sukarelawan Pembersihan bagi asnaf fakir, miskin dan muallaf akan menerima bayaran setengah bulan gaji bagi 14 hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak RM260 (setengah bulan Mac).

“MAIM juga bersetuju menyalurkan Bantuan Pencegahan dan Rawatan Covid-19 untuk petugas barisan hadapan bagi pembelian kipas berdiri, cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), vitamin C bagi petugas, bekalan makanan masak bagi petugas barisan hadapan di tiga hospital utama iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah,” katanya.

Sulaiman berkata, MAIM turut bersetuju menyalurkan bantuan RM5,000 bagi pembelian barangan makanan kering serta bekas meletak makanan kepada Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan (CReATE) yang menjadi Pusat Kuarantin Covid-19 di Alor Gajah.

Selain itu, bantuan bekalan makanan bermasak bernilai RM2,000 turutdiberikan kepada petugas barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) utama iaitu IPD Melaka Tengah, IPD Jasin dan IPD Alor Gajah.

Sementara itu, MAIM juga mengambil inisiatif untuk membuat pembayaran awal bagi Bantuan Makanan Bulanan untuk April bermula semalam.

Ia membabitkan seramai 3,841 bagi penerima di Melaka Tengah, diikuti Alor Gajah (1,639) dan Jasin (1,898).

Bantuan Bulanan Bank (BBB) bagi bulan Mac juga sudah dikreditkan

pada 15 Mac lalu.

Ia membabitkan BBB Jasin berjumlah RM228,000, diikuti BBB Melaka Tengah (RM390,670) dan BBB Alor Gajah (RM214,850).

Bantuan Tunai Bulanan (BTB) bagi bulan Mac seramai 653 orang fakir, miskin dan muallaf akan dikreditkan pada 23 hingga 27 Mac membabitkan Melaka Tengah (RM54,380), Alor Gajah (RM7,650) dan Jasin (RM46,220).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 5:41 PM
    Digital NSTP Subscribe