PERUNTUKAN agihan khas itu khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40. FOTO Arkib NSTP
PERUNTUKAN agihan khas itu khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas sebanyak RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata, peruntukan agihan khas itu khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40.

“Golongan itu adalah yang paling terjejas sumber pendapatan susulan PKP dan bantuan ini dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh getir.

“Selain itu, peruntukan agihan khas ini turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi untuk menangani Covid-19.

“LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, golongan yang terjejas boleh memohon bermula 25 Mac ini dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 (Isnin-Jumaat 10 pagi hingga 3 petang).

Dalam perkembangan sama, Saipolyazan berkata, LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac ini kepada asnaf sedia ada yang menerima agihan bulanan.

“Bantuan bulanan pada kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 haribulan manakala bagi agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa.

“Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan kelangsungan hidup umat Islam di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, institusi itu juga akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 5:41 PM
    Digital NSTP Subscribe