PENDUDUK menunggu di luar pasar raya di Masjid Tanah, Melaka. FOTO Hassan Omar.
PENDUDUK menunggu di luar pasar raya di Masjid Tanah, Melaka. FOTO Hassan Omar.
BERNAMA

SEKITAR 10 peratus penduduk negara ini masih mengingkari atau ‘sengaja’ tidak memahami arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sejak arahan PKP dilaksanakan mulai 18 hingga 31 Mac ini, majoriti rakyat akur dengan perintah itu tetapi ada sebilangan 10 peratus atau tiga juta penduduk gagal mematuhi arahan tersebut.

“Kita boleh lihat paparan video kanak-kanak bermain di luar, ada yang bersenam dan sebagainya tular di media sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan,” katanya pada sidang media bersama Bernama dan RTM di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata mungkin angka itu kecil tetapi dalam konteks penularan Covid-19, jumlah itu cukup besar untuk memburukkan lagi keadaan semasa dengan peningkatan kes negara setakat tengah hari tadi berjumlah 1,183 kes.

Beliau berkata negara kini berada dalam suatu suasana luar biasa yang belum pernah dilalui sebelum ini dan kerajaan perlu menguruskan situasi Covid-19 dengan penuh ketelitian dan disiplin.

Saifuddin berkata, pakar perubatan sudah menyatakan bahawa negara perlu bersiap sedia dengan persiapan yang luar biasa kerana berdepan dengan virus yang mengancam nyawa manusia.

Oleh itu, katanya, setiap individu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dengan mendengar arahan kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang PKP dilaksanakan.

“Perkara paling mustahak adalah kita membantu pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan dengan duduk di rumah, amalkan basuh tangan bukan hanya untuk solat dan makan tetapi untuk memegang anggota lain terutamanya muka dan amalkan jarak sosial dengan orang lain lebih kurang satu meter,” katanya

“Ini adalah perkara asas dan saya yakin rakyat Malaysia boleh melakukannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 5:48 PM
    Digital NSTP Subscribe