X
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
Rafidah Mat Ruzki

LAPORAN polis dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mendedahkan latar belakang kesihatan dan perjalanan mereka kepada kakitangan perubatan sebelum menjalani saringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan ada beberapa kes membabitkan pesakit yang hanya mendedahkan mereka ada kaitan dengan jemaah pesakit yang Covid-19 selepas menjalani saringan di hospital atau klinik kesihatan.

Menurutnya, apabila didapati positif, pihaknya terpaksa menutup wad, bilik bedah, menjalankan pembersihan manakala kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dikenal pasti, disaring selain masih perlu dikuarantin jika didapati negatif.

Katanya, tidak adil bagi kakitangan kementerian itu untuk didedahkan kepada risiko berkenaan.

“Saya gesa jika ia berlaku, kakitangan kami membuat laporan polis kerana tidak mendedahkan maklumat. Ia adalah maklumat yang penting dan kadang kala anda menjangkiti kami.

“Saya berasa ia adalah penting, contohnya anda tidak mendedahkan perjalanan anda ke lima negara (yang ada wabak Covid-19) atau ke luar negara atau anda tidak mendedahkan anda berkait dengan kumpulan tabligh.

“Semua ini maklumat penting. Jika anda maklumkan kepada kami, kami akan memastikan pegawai kami dilindungi sebelum memeriksa anda,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, seramai 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, dua daripada 19 orang kakitangan KKM itu kini sedang dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU).

“Punca jangkitan bagi kesemua 19 anggota kesihatan KKM terbabit bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka ketika mengendalikan kes di peringkat fasiliti masing-masing.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka adalah kontak rapat generasi pertama dan kedua membabitkan kluster jemaah tabligh,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 14 Mac lalu, seramai 337 anggota KKM yang sudah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 dan daripada jumlah itu, seramai 251 didapati negatif manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, mana-mana pihak yang didapati mendedahkan maklumat pesakit yang positif Covid-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang melainkan ia didedahkan sendiri oleh individu berkenaan.

Menurutnya, hanya pesakit berhak untuk berbuat demikian seperti yang dilakukan oleh pesakit kes ke-26 dan ke-33 sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 6:11 PM