ABDURRAHMAN (baju hijau) bersama penuntut Malaysia di Kaherah.
ABDURRAHMAN (baju hijau) bersama penuntut Malaysia di Kaherah.
Yusmizal Dolah Aling


PENUNTUT Malaysia yang berada di Mesir berada dalam keadaan baik dan mematuhi nasihat dikeluarkan pihak berwajib susulan penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan.

Setiausaha Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M) Abdurrahman Auf Mohd Sidek berkata, kebanyakan penuntut hanya tinggal di rumah masing-masing kerana sebahagiannya sedang bercuti manakala ada yang kelas dibatalkan.

Katanya, pengajian di universiti, program persatuan dan aktiviti lain buat masa ini dibatalkan dan penuntut hanya menunggu perkembangan terkini daripada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

“Setakat ini tiada sebarang desas-desus sama ada kelas yang dibatalkan akan diteruskan atau cuti ditambah daripada yang sudah diputuskan selama dua minggu sebelum ini.

“Mengenai pengajian, kami hanya memantau perkembangan menerusi emel dan kumpulan WhatsApp manakala bagi penuntut yang ingin pulang ke tanah air, mereka masih menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, KBMK dalam kenyataan dikeluarkan memaklumkan pihaknya menasihatkan agar penuntut Malaysia memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya terbabit dan mengambil langkah untuk mencegah wabak berkenaan.

Penuntut juga diingatkan supaya mengehadkan pergerakan keluar dari kediaman masing-masing dan hanya untuk mendapatkan keperluan harian saja selain menangguhkan dengan serta merta semua program termasuk acara sukan, sosial dan semua perjalanan di dalam negara itu.

Katanya, rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dengan kedutaan diminta untuk berbuat demikian menerusi emel [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 8:22 PM
    Digital NSTP Subscribe