PERKHIDMATAN logistik dan pengangkutan boleh beroperasi dalam tempoh PKP. FOTO Arkib NSTP
PERKHIDMATAN logistik dan pengangkutan boleh beroperasi dalam tempoh PKP. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


MESYUARAT Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri, hari ini, memperakukan keputusan bahawa kebenaran beroperasi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diberikan kepada syarikat di dalam sektor pembuatan penting dan kritikal oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut terpakai kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan di bawah syarikat berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi memastikan bekalan produk penting dan kritikal yang dikeluarkan kilang-kilang yang terbabit sampai kepada pelanggan dan destinasi dalam masa dan keadaan yang sempurna.

Katanya, perkhidmatan logistik dan pengangkutan berkenaan tidak perlu memohon kebenaran berasingan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi meneruskan operasi mereka di dalam tempoh PKP.

“Bagaimanapun perkhidmatan logistik dan perkhidmatan ini hanyalah dibenarkan membawa atau mengangkut barang-barang dan hasil produk yang dihasilkan syarikat yang diberi kebenaran oleh MITI dan perlunya beroperasi pada kadar tenaga kerja yang minimum.

“Adalah diharapkan syarikat perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang beroperasi akan mematuhi syarat-syarat ini bagi mengelak daripada sebarang tindakan diambil ke atas mereka dan syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“Ini akan dapat memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan masyarakat tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, bagi kilang pembuatan yang sudah dibenarkan beroperasi tetapi menggunakan perkhidmatan syarikat logistik dan pengangkutan swasta atau individu, mereka perlu memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri untuk diperakukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 9:00 PM
    Digital NSTP Subscribe