GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan pelarian dan pencari suaka turut disertakan dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia bertujuan mengekang sebarang penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) yang berpotensi berlaku dalam masyarakat.

Katanya, UNHCR, akan bekerjasama Pasukan Penyelamat dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Malaysian Relief Agency (MRA) dan MERCY Malaysia; bagi mengesan peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh membabitkan pelarian dan pencari suaka.

“KKM turut serta dalam menjalankan aktiviti ini melalui pembabitan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah. Pasukan bersama berkenaan akan menyalurkan maklumat mengenai jangkitan Covid-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka (asylum seeker).

“Mereka turut memberikan penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan Covid-19, walaupun mereka tidak menyertai perhimpunan itu.

“Ini mengambil kira mereka tinggal dalam komuniti yang kecil dan sentiasa berinteraksi rapat,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membincangkan isu gelendangan di ibu negara yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kira-kira 500 golongan itu di Kuala Lumpur bakal ditempatkan di satu pusat yang sudah dikenal pasti dan akan diumumkan kelak.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan MKN untuk membuat saringan terhadap mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 9:54 PM
    Digital NSTP Subscribe