ANGGOTA penguatkuasa memeriksa kenderaan yang melalui sempadan di Sindumin-Merapok pada 2018. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA penguatkuasa memeriksa kenderaan yang melalui sempadan di Sindumin-Merapok pada 2018. FOTO arkib NSTP


KERAJAAN negeri Sabah memendekkan waktu operasi Kompleks Custom Immigration Quarantine & Security (CIQS) Sindumin-Merapok di sempadan Sabah dan Sarawak sebagai langkah menangani penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, tindakan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, hari ini.

“Hal ini selaras dengan persetujuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

“Oleh itu, kita memutuskan waktu operasi kompleks ini hanya bermula jam 6 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa hari ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Dalam pada itu, Safar berkata, kerajaan negeri juga memutuskan semua gelandangan ditempatkan sementara di pusat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah masing-masing.

“Kita juga meminta semua ketua kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar hendaklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sekatan jalan raya di seluruh negeri turut giat dikuatkuasakan untuk memastikan arahan PKP dipatuhi. Orang awam diminta memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang arahan ini dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 3:40 PM
    Digital NSTP Subscribe