Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ialah Datuk Alexander Nanta Linggi mengadakan tinjauan bekalan makanan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di Pasaraya. FOTO NOOR ATIQAH SULAIMAN
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ialah Datuk Alexander Nanta Linggi mengadakan tinjauan bekalan makanan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di Pasaraya. FOTO NOOR ATIQAH SULAIMAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEBENARAN yang diberikan kerajaan untuk perusahaan utama menjalankan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat menjamin keperluan asas mencukupi.

Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang PKP.

“FMM berterima kasih kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberikan kebenaran untuk pemain industri utama beroperasi.

“Ini mampu menjamin keperluan asas mampan kepada rakyat sepanjang PKP dijalankan sehingga 31 Mac ini,” katanya.

Menurutnya, FMM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berusaha mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk memastikan bekalan keperluan asas tidak terjejas.

Katanya, Miti bersama FMM juga mewujudkan pasukan khas untuk memantau dan memastikan bekalan bahan asas tidak terganggu selain turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pengangkutan.

“Kolaborasi kukuh antara FMM, kementerian serta agensi kerajaan lain mampu memastikan

bekalan asas mencukupi untuk keperluan rakyat sepanjang PKP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:08 PM
Digital NSTP Subscribe