ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Nurul Hidayah Bahaudin


KADAR pematuhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meningkat kepada 92 peratus semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,903 sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyaksikan peningkatan 98 peratus berbanding sebelum ini.

“Pada masa sama, sebanyak 120,615 kenderaan dalam sekatan jalan raya berkenaan dan 1,719 hebahan dilakukan PDRM di seluruh negara.

“Jumlah kenderaan yang diperiksa itu jelas menunjukkan ada lagi segelintir rakyat yang gagal mematuhi arahan larangan keluar rumah dikeluarkan kerajaan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, satu lagi arahan iaitu penjarakan sosial satu meter dilihat masih gagal dipatuhi sepenuhnya oleh orang ramai.

“Keadaan itu boleh dilihat di pasar raya apabila ada yang masih berhimpit ketika membuat pembayaran dan jarak mereka kurang dari satu meter.

“Pihak penguatkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan membantu pengawasan penjarakan sosial di pasar basah atau pasar raya dengan mengenakan peraturan masuk premis secara berperingkat.

“Saya menyeru dan berharap rakyat patuh larangan keluar rumah dan penjarakan sosial ketika membeli barang di luar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 3:06 PM
    Digital NSTP Subscribe