ANGGOTA APMM melakukan pemantauan di perairan Langkawi untuk memastikan komuniti maritim mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan menghalang penularan wabak Covid-19. FOTO Ihsan APMM.
ANGGOTA APMM melakukan pemantauan di perairan Langkawi untuk memastikan komuniti maritim mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan menghalang penularan wabak Covid-19. FOTO Ihsan APMM.
Hamzah Osman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan segelintir pemancing masih berdegil apabila tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan bagi menghalang pelanggaran arahan kerajaan itu terus berlaku.

“Kita mengesan segelintir komuniti maritim di perairan Langkawi masih mengingkari arahan PKP selama 14 hari yang bermula pada 18 Mac lalu.

“Antaranya, terdapat pergerakan segelintir pemancing melakukan aktiviti memancing di laut, selain bot pelancong masih meneruskan operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulinda berkata, berikutan itu pihaknya menghantar anggota ke lokasi bagi menasihati pemancing dan pengusaha bot pelancong terbabit supaya tidak meneruskan aktiviti mereka.

“Bagi meningkatkan kawalan, kekuatan anggota APMM turut ditambah dari semasa ke semasa dengan fokus melaksanakan operasi 24 jam sepanjang PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:10 PM