MUHYIDDIN ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUHYIDDIN ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


PUSAT perubatan dan klinik swasta diingatkan supaya tidak mengenakan harga tinggi kepada pesakit untuk menjalani saringan Covid-19 di premis masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini kerajaan tidak mengawal kos saringan di sektor perubatan swasta kerana beliau difahamkan kos untuk saringan Covid-19 di hospital kerajaan bernilai RM700 setiap seorang, yang ditanggung kerajaan.

“Kalau swasta mereka terpaksa menentukan kadar berpatutan. Saya kira kalau RM500 atau RM600 kalau ikut kadar pasaran ia berpatutan.

“Jangan ada sampai RM1,000 atau lebih daripada itu. Itu membebankan. Saya yakin pihak hospital ada tanggungjawab sosial mereka untuk membantu supaya dalam keadaan darurat dan kesulitan yang kita hadapi, mereka tidak menambah beban dengan mengenakan kos terlalu tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, warga asing di negara ini diminta melakukan saringan Covid-19 bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Beliau berkata, walaupun warga asing tetap dikenakan caj jika menjalani ujian saringan di hospital kerajaan, apa yang penting adalah soal keselamatan mereka dan warga Malaysia selain menghindarkan mereka daripada bahaya penyakit itu.

“Walaupun mereka pekerja asing terutama diambil majikan, saya minta majikan memberi nasihat kepada mereka terutama yang tinggal di tempat tinggal disediakan majikan.

“Mereka harus pergi untuk dapatkan rawatan jika perlu dan kalau tidak tinggal di kediaman masing-masing sampai Perintah Kawalan Pergerakan ini ditamatkan. Itu yang penting,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju mengagihkan topeng muka kepada rakyat secara percuma sebagai sumbangan kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19 .

“Kerajaan mengambil keputusan mengimport topeng muka dari China iaitu kira-kira 10 juta keping.

“Semalam saya sudah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menggunakan peruntukan disediakan kerajaan untuk membawa masuk bekalan itu.

“Saya difahamkan, harga sekeping adalah RM1.18 dan saya ingin mengumumkan topeng terbabit akan diagihkan secara percuma kepada rakyat selepas bekalan (topeng) diterima," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 6:51 PM