Datuk Syed Hussian Syed Junid.
Datuk Syed Hussian Syed Junid.


MEDIA Prima Bhd melancarkan kempen pengumpulan dana untuk Bantuan Kemanusiaan Covid-19, melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP bagi membantu kerajaan terutamanya dalam merawat pesakit Covid-19 dan membantu mereka yang terkesan akibat virus ini.

Pengerusi Media Prima, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya merayu sumbangan segera daripada orang ramai bagi membantu usaha melawan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Katanya, setiap sumbangan sama ada besar atau kecil adalah amat bermakna dan akan disalurkan untuk tujuan pembelian kelengkapan perubatan yang kritikal dan keperluan lain bagi membantu usaha pemulihan pesakit-pesakit yang dijangkiti wabak ini.

“Sebagai kumpulan media bersepadu yang terbesar di Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bukan saja membantu mewujudkan kesedaran dan menyampaikan berita terkini yang tepat pada masanya, malahan menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Kami akan menggunakan platform-platform media bagi mencapai demografi sosial yang luas serta merayu untuk bantuan ini. Kami tidak akan berhenti sehingga virus ini dapat dibendung. Marilah kita bersatu dalam melawan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Hussian berkata, Media Prima akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan bagi menyalurkan sumbangan terbabit dan telah menghubungi hospital-hospital bagi menentukan keperluan segera dan kritikal diperlukan mereka.

“Orang ramai boleh menyumbang ke tabung ini melalui cek, perbankan dalam talian atau deposit kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (MAYBANK: 5141-0532-3170).

“Penderma boleh mengemel slip transaksi bank dengan menyatakan Covid-19 kepada [email protected] untuk pengeluaran resit.

“Semua cek boleh dibayar kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis ‘Covid-19’ di belakang cek berkenaan. Sila alamatkan cek itu kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur,” katanya.

Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP katanya, terus wujud kerana kemurahan hati penderma yang berkongsi visi betapa pentingnya untuk menjadi individu yang bertanggungjawab dalam masyarakat hari ini.

Sejak dilancarkan pada tahun 1991, Tabung ini telah menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan, bencana dan ekonomi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:00 PM
    Digital NSTP Subscribe