BERNAMA

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran menerusi emel atau pos bermula 1 April 2020, untuk pengeluaran kemudahan i-Lestari seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias dalam satu pesanan khidmat masyarakat berkata, ahli-ahli boleh membuat pendaftaran secara emel atau pos bermula 1 April dan pendaftaran secara dalam talian boleh dilakukan bermula 1 Mei.

“Ahli KWSP akan menerima bayaran ke akaun bank masing-masing bermula Mei ini. Butiran terperinci mengenai kaedah ini akan diwar-warkan sebelum 31 Mac nanti,” katanya.

Menurutnya, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020.

Inisiatif ini yang diumumkan sebagai salah satu langkah untuk menangani impak penularan virus Covid-19, dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

KWSP menyarankan ahlinya agar membuat pendaftaran secara dalam talian bermula 1 Mei kerana prosesnya lebih cepat dan tepat serta hanya mengambil masa tiga hari untuk diproses.

“Permohonan secara emel dan pos mungkin memakan masa lebih lama kerana pengesahan manual perlu dibuat dengan lebih terperinci bagi melindungi keselamatan akaun ahli,” katanya.

Menurutnya, ahli dinasihatkan supaya menggunakan kaedah yang dinyatakan dan tidak perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, pihaknya juga menasihatkan ahlinya agar tidak tertipu dengan sebarang skim penipuan dan hanya berurusan dengan KWSP saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:05 PM
BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
Digital NSTP Subscribe