Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan untuk menambah 2,000 lagi petugas barisan hadapan bagi membantu warga kementerian dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sentiasa berusaha mempertingkatkan fasiliti bukan sahaja membabitkan peralatan, malah sumber manusia.

“Kita dalam proses untuk melihat kembali bagaimana boleh tingkatkan sumber manusia termasuk pegawai perubatan dan jururawat.

“Sasaran kita adalah untuk capai sekurang-kurangnya 2,000 lagi petugas dan sekarang dalam proses pendaftaran sedang berjalan (untuk mengetahui pengalaman mereka sebelum ini dan di mana mereka berada).

HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Sungai Buloh. FOTO Arkib NSTP

“KKM akan mengutamakan jururawat yang sudah bersara atau berhenti untuk menyumbang kepakaran mereka.

“Jika mengambil pegawai perubatan yang masih baharu, kita perlukan masa untuk melatih mereka,” katanya pada sidang media Perkembangan Terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, selain itu KKM juga akan menambahbaik fasiliti di setiap unit rawatan rapi (ICU) dengan peralatan dan kepakaran bagi memberi perkhidmatan terbaik untuk menyelamatkan pesakit.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, bermula hari ini KKM akan menjalankan ujian Covid-19 ke atas semua jemaah tabligh sama ada mereka mempunyai simptom wabak itu atau tidak.

Katanya, sebelum ini arahan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan untuk menjalankan ujian terhadap mereka yang mempunyai gejala Covid-19 sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:30 PM
    Digital NSTP Subscribe