Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan. FOTO NSTP
Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan. FOTO NSTP
BERNAMA

MASIH terdapat bot rekreasi berdegil apabila melakukan aktiviti memancing di sekitar perairan Selat Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan komuniti laut seharusnya akur dengan PKP yang diumum kerajaan sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19.

Mendedahkan perkara itu, Che Engku Suhaimi berkata, hanya komuniti nelayan berlesen sahaja dibenarkan ke laut manakala selebihnya seperti kegiatan menjala ikan dan mengutip kupang secara berkumpulan ketika air laut sedang surut, tidak dibenarkan.

“Saya dapat melihat kegiatan sedemikian (memancing, menjala dan mengutip kupang) berlaku di sekitar pesisir pantai perairan Pantai Morib, Pantai Sepang dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Mereka keluar beramai-ramai termasuk membawa anak kecil pergi mengutip kupang di pesisiran pantai,” katanya kepada Bernama ketika membuat tinjauan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam melaksanakan PKP di Sepang, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Che Engku Suhaimi berkata, pihaknya menggunakan pembesar suara dengan memberi peringatan dan menyuruh mereka pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama baik dan rondaan pemantauan PKP di perairan seluruh negara perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

“Mana-mana perkhidmatan bot kurang penting (non-essential services boat) yang keluar ke laut, boleh diambil tindakan kerana melanggar PKP.

“Oleh yang demikian, kami akan mempertingkatkan rondaan setiap hari bagi memantau mereka yang tidak terbabit dengan ‘essential services’ ini,” katanya.

Sementara itu, Bernama yang menyertai tinjauan udara APMM hari ini mendapati keadaan perairan khususnya Selat Melaka terkawal.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir mereka yang tidak mengendahkan PKP masih melakukan aktiviti secara berkumpulan dan memancing di laut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 9:23 PM
    Digital NSTP Subscribe