X
ANTARA barang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA barang dirampas. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


SELEPAS tiga jam melakukan samun di sebuah kedai runcit di Jalan Selayang Baru, Selayang, tiga lelaki berjaya ditahan polis dalam satu serbuan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki Indonesia berusia 24 tahun yang bekerja di kedai runcit berkenaan.

“Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, tiga lelaki memakai topeng muka menyamun kedai runcit dengan seorang daripada mereka mengacukan kerambit pada perut pekerja berkenaan.

“Mereka kemudian melarikan diri bersama beberapa barangan dengan menaiki Proton Wira.

“Hasil maklumat diterima, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Selayang membuat serbuan di Jalan 23 Selayang Baru sebelum menahan suspek berusia antara 27 hingga 29 tahun di lokasi berkenaan 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pemeriksaan dalam kereta menemui sejumlah wang tunai dan pelbagai barang dipercayai digunakan suspek menjalankan kegiatan samun.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah serta kes berkaitan dadah.

“Semua suspek dan barang rampasan termasuk kereta digunakan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga 28 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 11:33 PM
Digital NSTP Subscribe