GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) hari ini mengesahkan seorang kakitangan anak syarikatnya, Composites Technology Research Malaysia (CTRM) di Batu Berendam, Melaka, disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, rekod pergerakan menunjukkan pekerja terbabit dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Putrajaya pada 7 Mac lalu.

Pada 18 Mac, beliau dimaklumkan pasangan pengantin terbabit serta seorang sepupu lain disahkan positif Covid-19.

Kakitangan terbabit kemudiannya diperiksa di Hospital Melaka dan didapati negatif pada ujian pertama, namun keputusan berikutnya mengesahkan beliau dijangkiti virus itu.

Bagaimanapun, ujian kedua itu mendapati kesemua ahli keluarganya iaitu isteri dan dua anak tidak dijangkiti, kata DRB-HICOM.

Pekerja itu kini dirawat di sebuah hospital dan proses mengesan senarai hubungan kakitangan ini sudah dijalankan, termasuk dalam kalangan rakan sekerja dan ahli keluarga.

Pada masa sama, tempat kerja beliau sudah dihadang dan pihak CTRM serta pihak berkuasa akan memulakan kerja pembersihan dan penyahkuman dalam waktu terdekat.

Selain itu, DRB-HICOM berkata, beliau adalah kakitangan pertama Kumpulan DRB-HICOM yang disahkan positif Covid-19 dan dilaporkan pada 18 Mac lalu, kini beransur pulih.

Malah, ujian terbaru menunjukkan beliau yang bertugas di Pekan, Pahang, bebas daripada virus itu namun perlu menjalani ujian kali kedua sebelum disahkan pulih, kata syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 10:17 AM
Digital NSTP Subscribe