TINJAUAN saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kecil Ampang. FOTO Yazit Razali.
TINJAUAN saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Kecil Ampang. FOTO Yazit Razali.
Nurul Amanina Suhaini


KERAJAAN Johor akan menyelaraskan sumbangan yang ingin disalurkan rakyat dalam membantu menangani wabak Covid-19 yang melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, pihaknya mengambil maklum keinginan masyarakat untuk turut sama membantu.

“Di peringkat negeri, tiga jenis sumbangan yang boleh disalurkan rakyat iaitu berbentuk barangan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala sumbangan berbentuk kewangan boleh dibuat menerusi kerajaan negeri.

“Bagi sumbangan berbentuk peralatan perubatan di fasiliti kesihatan boleh disalurkan kepada Bahagian Kesihatan Awam di talian 07-238 2217 (Dr Lily Rafidah Mohamed Zaki) atau Bahagian Perubatan di talian 07-224 5211 (Dr Sukhaila Daros) pada waktu pejabat dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi hebahan media secara langsung menerusi Facebook, hari.

Beliau berkata, untuk makluman, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menubuhkan akaun khas bagi membolehkan orang ramai menyumbang.

Katanya, sumbangan itu boleh disalurkan menerusi akaun Sumbangan Perubatan KKM di 2-66016-0002347-5 (RHB Bank).

“Sumbangan orang ramai ini akan digunakan bagi membeli alat kelengkapan perubatan, keperluan seperti ubatan, reagen, bahan pakai buang dan keperluan perubatan lain.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi barisan hadapan kepada kerajaan serta sentiasa bersedia dan responsif menjalankan tugas,” katanya.

Sehingga semalam, Johor mencatatkan 158 kes dengan dua kes kematian iaitu pada 17 Mac dan 23 Mac 2020.

Kes kematian terbaharu iaitu kes-1114 seorang lelaki warga Malaysia berusia 70 tahun yang dimasukkan ke Hospital Hajjah Enche’ Besar Khalsom, Kluang dan disahkan meninggal dunia pada semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 12:00 PM
    Digital NSTP Subscribe