NUR Aina berkongsi gambar ketika dirawat di wad isolasi selepas disyaki dijangkiti Covid-19. FOTO Ihsan FB Nur Aina.
NUR Aina berkongsi gambar ketika dirawat di wad isolasi selepas disyaki dijangkiti Covid-19. FOTO Ihsan FB Nur Aina.
Suraya Roslan


“KESIHATAN saya semakin drop (merosot), andai ini status yang terakhir saya minta maaf pada semua andai ada salah dan silap.”

Demikian status seorang pesakit disyaki Covid-19 dalam Facebooknya yang memerlukan doa daripada orang ramai supaya diberi kesembuhan segera.

Pesakit menggunakan nama Nur Aina Insyirah itu turut meletakkan gambar dalam keadaan berdarah dan ketika itu sedang menunggu bantuan doktor.

“Tolong doakan saya, doa anda semua saya perlukan sekarang andainya malam ini status saya yang terakhir.

“Saya minta maaf pada semua andai ada salah dan silap,” katanya dalam status di Facebook ditulis pada 10.30 malam tadi.

Nur Aina turut menjelaskan, ketika ini dia sedang menunggu keputusan sama ada positif atau negatif virus itu.

“Apa pun tunggu result (keputusan) dan jangan buat andaian. Suspek sahaja, negatif atau positif tunggu laporan saja sebab saya ada masalah kesihatan lain juga,” katanya.

Wanita itu turut menjelaskan kenapa dia dibenarkan menggunakan telefon ketika berada di wad isolasi di sebuah hospital.

“Yang tanya kenapa saya masih boleh guna telefon di wad kerana saya diasingkan jauh daripada jururawat dan doktor.

“Jururawat dan doktor akan hubungi saya atau saya akan hubungi mereka untuk mendapatkan rawatan, sebab apabila mereka masuk ke sini semua kena lengkap berbungkus kemudian kena mandi dan tukar baju,” jelasnya.

Menurutnya, apabila keadaan memerlukan jururawat dia akan menghubungi mereka.

“Apabila keadaan yang saya perlukan jururawat baru saya hubungi, sebab itu telefon sentiasa berada dengan saya 24 jam.

“Minta netizen jangan salah anggap pihak hospital tidak bertanggungjawab memberi kebenaran saya menggunakan telefon ketika di wad isolasi. “Mereka akan masuk ke wad saya ini apabila perlu saja untuk langkah keselamatan doktor dan jururawat,” katanya tanpa menjelaskan di mana hospital dia dirawat.

Dia turut meluahkan perasaan kasihan terhadap doktor dan jururawat yang berjuang untuk pesakit Covid-19.

“Jangan lupa mendoakan saya pulih sepenuhnya,” katanya.

Nur Aina memohon supaya semua netizen jangan menambah kerisauan keluarganya dengan bertanya pelbagai soalan.

“Saya pun tak nak suspek Covid-19 ini, macam kami minta nak kena,” katanya.

Harian Metro sedang mendapatkan wanita itu untuk berkongsi cerita selanjutnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 12:44 PM
    Digital NSTP Subscribe