Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS Kuala Lumpur mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghadkan waktu operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur bagi mengurangkan kepadatan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, cadangan itu adalah langkah terbaik memandangkan jumlah pelanggan dan pekerja di pasar utama ibu kota itu masih tinggi.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa (PBT) tempatan untuk meneliti semula waktu operasi yang sesuai bagi mengurangkan pergerakan keluar masuk.

“Pasar Borong Kuala Lumpur memiliki 440 gerai dan jika satu gerai menggajikan lima pekerja ini bermakna terdapat lebih 2,000 pekerja asing pada satu masa dan itu masih belum ditambah dengan pelanggan yang datang membeli barangan keperluan.

MAZLAN bersama anggota polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MAZLAN bersama anggota polis dan tentera membuat pemeriksaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Polis juga mahu cadangkan PBT untuk memberikan cadangan untuk mengurangkan jumlah pekerja memandangkan pelanggan juga sudah berkurangan. Ini membolehkan penjarakan sosial dan memutuskan rantaian Covid-19 dikawasan ini,” katanya dalam sidang media ketika lawatan sekatan jalan raya di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, polis Kuala Lumpur juga melaksanakan 51 sekatan jalan raya sekitar ibu kota dan Putrajaya untuk memastikan orang ramai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya di tiga zon merah iaitu Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 1:47 PM