COWAY Malaysia sumbangkan 100,000 topeng mulut dan hidung kepada polis.
COWAY Malaysia sumbangkan 100,000 topeng mulut dan hidung kepada polis.
Muhamaad Razis Ismail

COWAY Malaysia menyumbang 100,000 topeng mulut dan hidung secara percuma kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pengarah Pengurusan Coway Malaysia, Kyle Choi Ki Ryong berkata, pihaknya mengambil langkah itu yang bersesuaian dengan visi syarikat yang mahu menjadikan dunia lebih baik, bersih dan selamat.

Katanya, Coway sangat menghargai pengorbanan polis yang berada di barisan hadapan untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan baru-baru ini dipatuhi.

"Sebagai sebuah syarikat korporat di Malaysia, kami terpanggil untuk membantu menyediakan topeng mulut dan hidung kepada PDRM sebagai penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus memastikan keselamatan rakyat negara ini.

"Ketika saintis masih berusaha mencari vaksin untuk menangani pandemik ini, jumlah topeng mulut dan hidung semakin berkurangan. Oleh itu, kami tampil memberi sokongan sewajarnya untuk melindungi mereka yang berada barisan hadapan.

"Coway Malaysia akan terus memberi sokongan terhadap setiap langkah yang diambil kerajaan, penjawat awam dan syarikat korporat Malaysia dalam menangani penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, dengan peningkatan jumlah kes Covid-19, pihaknya berdepan risiko yang tinggi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

"Kelengkapan paling penting adalah topeng mulut dan hidung untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu.

"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Coway yang menyumbang peralatan ini yang sekali gus memberi motivasi kepada pegawai dan anggota untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada negara," katanya.

Coway sebagai sebuah syarikat pengguna dan isi rumah terkemuka di peringkat antarabangsa sejak , sentiasa menekankan kepentingan penjagaan kebersihan yang menjadi asas kepada kesihatan komuniti.

Dengan peningkatan wabak Covid-19 di negara ini, Coway mengingatkan masyarakat di negara ini mengelakkan daripada mendekati mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Pastikan anda sentiasa memakai topeng mulut dan hidung serta mencuci tangan dengan lebih kerap.

Patuhi arahan PKP dengan menjauhi kawasan tumpuan ramai, jarakkan diri sejauh satu meter dan pastikan udara sentiasa dalam keadaan bersih.

Untuk maklumat lanjut mengenai Coway Malaysia, kunjungi www.coway.com.my atau ke Facebook Coway Malaysia dan Instagram officialcowaymalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:08 PM
Digital NSTP Subscribe