Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun di sebuah kedai minuman di Bandar Sungai Long, Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang memaklumkan dirinya disamun seorang lelaki di lokasi berkenaan jam 5.26 petang.

“Menurut keterangan mangsa, dia disamun seorang lelaki yang bersenjatakan gunting ketika berada di hadapan kaunter kedai berkenaan sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira.

“Mangsa dilaporkan kehilangan telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan dokumen pengenalan diri dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki, Chew Kian Foong, 36, yang beralamat terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Vekram di talian 019 4737108 atau menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:45 PM
Kabinet Malaysia 2020