FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin

REMAJA berusia 17 hingga 19 tahun yang menaiki kenderaan Toyota Hilux ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya di Parit Raja.

Mereka ditahan di persimpangan Jalan Ayer Hitam-Yong Peng.

Bagaimanapun, berlaku pergelutan dengan suspek selepas mereka enggan memberikan kerjasama ketika cuba ditahan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, anggotanya yang dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tugasan pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tiba-tiba, sebuah Toyota Hilux membuat pusingan U sebelum tiba ke lokasi sekatan dijalankan.

“Sebuah MPV mengejar dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun suspek enggan bekerjasama malah menghimpit MPV berkenaan beberapa kali.

“Toyota Hilux terbabit turut merempuh sekatan jalan raya di Parit Raja dan hampir merempuh kenderaan pasukan COVID-19 yang membuat sekatan,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap Toyota Hilux terbabit tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang.

“Punca mereka melarikan diri mungkin disebabkan pemandu tidak mempunyai lesen memandu.

“Hasil ujian air kencing mendapati seorang penumpang positif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya dan Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:12 PM
    Digital NSTP Subscribe