AKTIVITI perniagaan kedai Seven Eleven mematuhi arahan menutup perniagaan bermula jam 6 petang. FOTO ZAID SALIM
AKTIVITI perniagaan kedai Seven Eleven mematuhi arahan menutup perniagaan bermula jam 6 petang. FOTO ZAID SALIM


SEMUA premis pernigaan di Terengganu perlu mematuhi arahan menutup aktiviti perniagaan bermula 6 petang.

Arahan menutup aktiviti perniagaan hingga 7 pagi dibuat kerajaan negeri bagi memastikan orang ramai tidak berada di luar rumah selepas 6 petang bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menyeru seluruh masyarakat negeri ini supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan arahan daripada kerajaan negeri.

“Hasil pemantauan dijalankan, premis yang menjalankan perniagaan 24 jam seperti kedai serbaneka, stesen minyak, pasaraya dan kedai runcit mematuhi arahan itu dengan menutup perniagaan tepat 6 petang.

“Saya berharap pematuhan ini berterusan dan meningkat hingga tempoh PKP tamat pada 31 Mac ini, namun jika ada yang masih degil dan keluar rumah tanpa alasan munasabah, polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menafikan ada sebilangan kecil peniaga runcit dan kedai makan terutama di kawasan kampung meneruskan aktiviti perniagaan selepas tempoh dibenarkan.

“Kita akan terus memantau dan memberi nasihat supaya menutup perniagaan dan jika berdegil, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Roslee berkata, jumlah kenderaan yang semakin kurang berada di jalan raya selepas 6 petang berbanding hari pertama dan kedua PKP menunjukkan masyarakat negeri ini sedar pentingnya untuk mematuhi arahan perintah berkenaan.

“Hingga 12 tengahari tadi, sebanyak 38 kes kumulatif dan tiada kes baharu dicatatkan di negeri ini dan berharap tahap kepatuhan mencapai 95 peratus yang ditunjukkan rakyat negeri ini berterusan dan bersama-sama mencegah penularan wabak dengan berada di rumah masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 9:11 PM
    Digital NSTP Subscribe