Omar (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Omar (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


WANITA yang melarikan diri ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Parit Buntar, Ahad lalu, bukan seorang pramugari syarikat penerbangan di Singapura seperti yang tular di media sosial, kelmarin.

Sebaliknya, wanita itu hanya pernah mengikuti kursus pramugari selama sebulan di Sungai Besi pada November 2019.

Selain itu suspek yang kini dirawat di Hospital Taiping berikutan mengalami simptom Covid-19 turut disahkan mengalami simptom ‘psikiatri’ atau kurang waras dan perkara itu disahkan sendiri oleh doktor yang merawatnya.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, terdahulu soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, memaklumkan dia bertindak melarikan diri dari Hospital Parit Buntar dan bersembunyi di sebuah rumah di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurutnya, 3.45 petang semalam suspek bersama rakan lelakinya berusia 26 tahun menyerah diri di perkarangan Hospital Parit Buntar sebelum diserahkan kepada Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.

“Selain mempunyai simptom Covid-19, suspek turut dikesan mempunyai simptom kurang waras dan kini dalam tindakan lanjut pihak Hospital Taiping.

“Terdahulu suspek yang didakwa seorang pramugari syarikat penerbangan di Singapura, bukanlah pramugari sebenar sebaliknya tidak berkerja dan perkara itu disahkan sendiri oleh bapanya, Abdul Malek Ahmad, 45, sewaktu siasatan dijalankan pihak polis semalam.

“Suspek yang pernah memaklumkan kepada bapanya bahawa dia berkerja di sebuah kedai telefon di Sungai Dua, Pulau Pinang adalah alasan suspek untuk keluar dari rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, soal siasat terhadap rakan lelaki yang dikatakan ‘abang’ suspek sebenarnya bukanlah abang kandung sebenar sebaliknya baru berkenalan selama seminggu.

“Pihak polis turut menasihatkan rakan lelaki suspek membuat pemeriksaan ujian saringan kesihatan dan hasil pemeriksaan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam mendapati lelaki itu negatif Covid-19,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 1:20 PM