GAMBAR hiasan. FOTO Intan Nur Elliana Zakari
GAMBAR hiasan. FOTO Intan Nur Elliana Zakari
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS membuka 370 kertas siasatan berhubung kes penipuan membabitkan pembelian penutup mulut dan hidung serta barangan lain sepanjang penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berdasarkan laporan yang dibuat mangsa.

“Setakat ini, polis melakukan sebanyak 25 tangkapan dan 11 kes sudah dituduh di mahkamah dengan jumlah kerugian secara keseluruhan bernilai hampir RM3 juta.

“Kita tegas dalam hal ini dan akan siasat. Ramai yang jadi mangsa. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu yang mengeksploitasi dan menipu orang ramai,” katanya dalam satu temubual khas sempena Hari Polis Ke-213 di Selamat Pagi Malaysia, Angkasapuri, hari ini.

Abdul Hamid berkata, sejak seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan sehingga 70 peratus.

“Jenayah yang berlaku ialah kes pecah rumah dan curi motosikal yang masih agak tinggi. Dalam pada kita berkurung di rumah, ada lagi penjenayah yang mengambil kesempatan,” katanya.

Namun, katanya, polis sentiasa melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di samping menjalankan penugasan PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 2:52 PM