GOLONGAN suri rumah mengambil kesempatan membeli belah di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 21 Mac 2020. FOTO Baharom Bakar
GOLONGAN suri rumah mengambil kesempatan membeli belah di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 21 Mac 2020. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


RAKYAT yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak menerima bantuan daripada jabatan serta agensi kerajaan turut diberi perhatian kerajaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna, Fasa Tiga berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM960,000 diluluskan kepada golongan itu.

Menurutnya, peruntukan tambahan kepada golongan terjejas itu akan disalurkan kepada 32 Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN).

“Peruntukan tambahan membabitkan RM30,000 setiap kawasan DUN itu mampu meringankan bebanan 600 keluarga yang terjejas berikutan Perintah Larangan Pergerakan (PLP) yang dikuatkuasa kerajaan sejak Selasa lalu.

“Pusat Khidmat Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti rakyat terjejas, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya pada satu kenyataan media yang diedarkan melalui Facebook (FB), hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata keutamaan bantuan itu adalah kepada keluarga yang tidak mempunyai gaji tetap serta tiada menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Bantuan segera berupa pakej barangan keperluan makanan harian seperti beras, sardin, minyak masak, gula dan tepung gandum akam disalurkan dengan kadar segera,” katanya.

Dr Ahmad menjelaskan, kerajaan akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan bergantung kepada keperluan semasa rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 3:24 PM