Dron digunakan untuk meninjau pergerakan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Dron digunakan untuk meninjau pergerakan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA lokasi tumpuan orang ramai di sekitar Lembah Klang dipantau menggunakan teknologi dron dalam pemantauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan Rasha Azaldin Shafii berkata, PDRM sebagai pihak berkuasa peneraju dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan semua aset terbaharu termasuk dron untuk melakukan pemantauan sekali gus mengawal penularan wabak Covid-19.

“Sasaran lokasi penggunaan dron ini adalah di lokasi tumpuan orang ramai sekitar Lembah Klang termasuk Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit dan Little India Brickfields dengan tempoh operasi bermula 7 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Penggunaan enam dron di lokasi berkenaan membolehkan capaian meluas untuk pemantauan di kawasan sempit yang tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi pemantauan menggunakan dron di Little India Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Rasha berkata, teknologi terkini menggunakan dron banyak digunakan negara lain terbabit dalam pandemik seperti China, Jepun dan Korea yang sedang dilanda wabak virus berkenaan ketika ini.

“Ia adalah langkah terbaru diambil kerana penggunaannya berbeza berbanding kaedah konvensional dengan adanya pengesan haba selain bertindak sebagai pembesar suara bergerak.

“Penggunaan dron pembesar suara ini amat efektif menyampaikan amaran dan maklumat ke dalam kawasan lebih luas dan jauh. Pada masa sama, kami dapat melihat sesiapa berkeliaran dan tidak mematuhi arahan PKP,” katanya.

Menurutnya, amaran berbentuk peringatan boleh disampaikan kepada orang ramai secara menyeluruh dengan penggunaan dron berkenaan di lokasi tumpuan.

“Hukuman boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar arahan berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan

    pergerakan

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 3:56 PM