Samsinah Samsudin (depan) bersama rakannya ketika berada di Pakistan baru-baru ini. FOTO Ihsan Samsinah
Samsinah Samsudin (depan) bersama rakannya ketika berada di Pakistan baru-baru ini. FOTO Ihsan Samsinah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“BERADA di ‘bandar mati’ antara pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang lebih 30 tahun mengembara,” kata Samsinah Samsudin, 40.

Dia antara 40 rakyat Malaysia yang kini terkandas di Pakistan susulan perintah berkurung dan larangan keluar yang dikeluarkan negara itu susulan penularan Covid-19.

Menceritakan detik itu, Samsinah berkata, dia bersama sembilan rakannya tiba di negara berkenaan pada 15 Mac lalu hanya tiga hari sebelum Malaysia mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, keputusan untuk mengembara dibuat beberapa bulan lalu sebelum negara itu mengeluarkan arahan perintah berkurung di beberapa bandar utama.

“Saya sempat mengembara di beberapa lokasi tumpuan di Pakistan antaranya Swat Valley dan Hunza namun kebanyakan tempat ditutup kepada orang ramai.

“Keadaan di sana tidak ubah seperti bandar mati kerana kebanyakan kedai, hotel dan restoran sudah ditutup. Jalan pula lengang dengan sekatan jalan raya yang banyak dilakukan pihak berkuasa.

“Sebelum itu tiada larangan untuk pelancong asing datang ke Pakistan namun sebaik kami tiba, larangan itu dikuatkuasakan,” katanya yang berada di Islamabad ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan tempat tinggal dengan bantuan rakyat tempatan dan mereka dapat tinggal di sebuah hotel bajet sementara menunggu kenderaan untuk pulang ke Islamabad.

Katanya, rakyat tempatan banyak membantu sehingga hotel yang didiami itu diserbu pihak berkuasa kerana masih menerima tetamu sedangkan dia tidak memiliki pilihan lain untuk menginap.

“Saya bernasib baik kerana mengenali seorang doktor tempatan yang sudi memberikan kami kebenaran untuk tinggal sementara waktu di kediamannya,” katanya.

Samsinah berkata, maklumat yang diberikan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sebaik tiba di negara itu banyak membantu kedutaan memberikan informasi terkini mengenai kebenaran untuk pulang ke Malaysia.

Katanya, Menteri Penasihat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Deddy Faisal Ahmad Salleh dan pegawai lain banyak membantu dari segi informasi khususnya memohon kebenaran untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Pakistan.

“Kini ada beberapa rakan yang sudah berjaya pulang ke Malaysia dengan pesawat komersial namun harga tiket yang dikenakan sangat tinggi.

“Saya berharap kerajaan dapat membawa kami pulang sama seperti rakyat Malaysia di Iran, India dan China,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad memaklumkan terdapat 40 rakyat Malaysia masih berada di beberapa daerah di Pakistan termasuk di Lahore dan usaha membawa mereka pulang kini giat dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:10 PM